Pada 21 Disember 2024, Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) telah berjaya menganjurkan Temasya Sukaneka yang penuh meriah dan bersemangat di kawasan Pantai Villea Rompin Resort. Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan, yang melibatkan penyertaan aktif daripada kakitangan Koperasi serta keluarga.
Antara acara yang dijalankan termasuk senaman ringan sebagai pemanas badan, pertandingan teka biji betik yang mencabar minda, serta permainan kanak-kanak yang menyeronokkan seperti rebut gula-gula. Tidak ketinggalan, pertandingan kelongsong kain dan jambatan Kuala Semantan yang memerlukan kerjasama dan strategi, serta ping pong dalam sudu yang menguji ketangkasan peserta. Beberapa permainan menarik juga termasuk langkah sumbang, tiup belon dan patin munchung yang membawa gelak tawa dan keceriaan kepada semua.
Majlis tersebut turut diserikan dengan ucapan daripada Pengerusi KOSMA, Dato’ Haji Zamri Bin Haji Mohamed, yang menyampaikan kata-kata semangat dan penghargaan kepada semua peserta dan pihak yang terlibat dalam menjayakan acara tersebut. Beliau menekankan pentingnya semangat kerjasama, kekitaan, dan keseronokan dalam mengukuhkan hubungan sesama ahli Koperasi.
Turut hadir memeriahkan majlis ini ialah Dato’ Haji Mohd Sabri bin Haji Abdullah (Timbalan Pengerusi), Tuan Haji Ismail bin Abd Rahman (Setiausaha), Puan Hajah Zuraida binti Awang Said ( Bendahari), Anggota Lembaga KOSMA, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan KOSMA, Jawatankuasa Audit Dalaman KOSMA, Pengurus Besar, dan seluruh kakitangan KOSMA serta keluarga. Kehadiran mereka menambah seri dan keberkesanan acara ini.
Temasya Sukaneka KOSMA 2024 bukan sahaja bertujuan untuk mengeratkan lagi silaturrahim dalam kalangan ahli Koperasi, tetapi juga sebagai platform untuk merayakan kejayaan dan memperkukuhkan semangat bekerjasama dalam menjayakan matlamat bersama.
Majlis berakhir dengan penuh keceriaan dan peserta pulang dengan kenangan manis yang pastinya akan dikenang hingga tahun depan.