09-517 7977 / 517 7289

admin@kosma.com.my

Isnin - Jumaat, 8 pagi - 7 petang

Majlis Santapan/ Jamuan ‘Peterana Kasih’ Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-65 Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang

Pada 7 September 2024, Majlis Santapan/ Jamuan ‘Peterana Kasih’ Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-65 Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang di Dewan Besar Dara Muadzam Shah Rompin, Pahang.

Dalam Majlis ini Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni AlMarhum Sultan Haji Ahmad Shah menitahkan agar Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) dapat melaksanakan kerja-kerja tanggungjawab sosial korporat (CSR) agar dapat memberi manfaat kepada masyarakat sekeliling.

Baginda bertitah, pelaksanaan CSR ini akan dapat membantu masyarakat khususnya kaum orang asal yang masih jauh ketinggalan di negeri ini.

“Dan lebih penting juga saya berharap bukan sahaja kepada ahli-ahli tetapi harus memberi balik kepada masyarakat sekeliling kita, buat sikit CSR yang lebih berpatutan supaya dapat membantu mereka-mereka khususnya daripada kaum-kaum orang asal yang masih lagi tinggal dalam keadaan yang begitu ketinggalan.

“Dengan ini kita akan mewujudkan satu suasana yang cukup harmoni perlu dicontohi oleh ramai lagi persatuan dan koperasi-koperasi yang lain,” titah baginda.

Turut mengiringi baginda ialah Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.

Turut berangkat ialah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah Binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir sama ialah barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang, Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang (ADUN) Tioman, YB. Dato’ Sri Mohd Johari Hussain dan Pengerusi KOSMA, YH. Dato’ Haji Zamri Haji Mohamed.

Pada majlis sama baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada golongan memerlukan.

Dalam titah, baginda turut menyarankan agar kesemua ahli KOSMA agar terus memandang ke hadapan dan tidak mengungkit masalah-masalah lama agar dapat terus mentadbir koperasi berkenaan dengan baik.

“Yang lebih penting ialah saya telah menyatakan kepada pengerusi dan ahli lembaga kita tidak mahu pandang belakang, we all look forward now, kita tengok masa hadapan jangan kita ungkit lagi masalah-masalah lalu, masalah-masalah pergaduhan dalaman suatu ketika dahulu,” titah baginda.

Baginda juga berharap agar KOSMA dapat memberikan manfaat dan kebaikan bukan sahaja kepada masyarakat pada hari ini tetapi juga generasi akan datang.

Turut Hadir Dato’ Haji Mohd Sabri bin Haji Abdullah (Timbalan Pengerusi), Tuan Haji Ismail bin Abd Rahman (Setiausaha), Puan Hajah Zuraida binti Awang said (Bendahari), Anggota Lembaga, JKAD, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan KOSMA, Jawatankuasa Kecil KOSMA, Pengurus Besar serta semua kakitangan yang terlibat.

#SumberPahangMedia

.

Kongsikan