Kuantan, 17 April 2025 – Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) telah mengadakan Jamuan Hari Raya Aidilfitri bertempat di perkarangan Ibu Pejabat KOSMA, Teluk Sisek, Kuantan. Majlis yang julung-julung kali diadakan di perkarangan Ibu Pejabat telah berlangsung dengan penuh kemeriahan dari pukul 11.00 pagi hingga 3.00 petang.
Majlis ini bukan sahaja menyatukan seluruh warga kerja KOSMA, malah turut dihadiri oleh barisan kepimpinan tertinggi koperasi. Antara yang mengetuai majlis ialah Dato’ Haji Zamri bin Haji Mohamed (Pengerusi), Dato’ Haji Mohd Sabri bin Haji Abdullah (Timbalan Pengerusi), Tuan Haji Ismail bin Abd Rahman (Setiausaha), Puan Hajah Zuraida binti Awang said (Bendahari), Anggota Lembaga, (Pengurus Besar), serta para kakitangan yang terlibat dalam menjayakan program ini.
Para tetamu dihidangkan dengan pelbagai juadah tradisional Hari Raya seperti lemang, ketupat, rendang, sate dan aneka kuih-muih dalam suasana mesra dan penuh silaturahim.
Jamuan ini diadakan sebagai tanda penghargaan kepada semua pihak yang telah menyokong KOSMA selama ini, di samping mengeratkan hubungan sesama warga kerja dan rakan strategik.
Kemeriahan jamuan ini membuktikan komitmen KOSMA dalam membina ukhuwah yang kukuh dalam kalangan ahli dan warga kerja, selari dengan semangat gotong-royong dan muafakat yang menjadi teras koperasi.










